KUCHING: Kawasan Kota Samarahan berpotensi dibangunkan sebagai kota siber seperti Kota Kreatif Cimahi di Jawa Barat, Bandung, Indonesia. https://68935234147bf47c995a48d8af652d95.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata Kota Samarahan mempunyai tarikan tersendiri dan berpotensi disenaraikan sebagai salah satu Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ) yang berasaskan kepada pelancongan ‘niche’ dalam teknologi digital. 

“Saya melihat Kota Samarahan berpotensi seperti Kota Kreatif Chimahi yang berkonsepkan kepada kreativiti, inovasi dan teknologi digital sehingga menjadi trend dan gaya hidup anak muda di sana. 

“Ini sesuai dengan peratusan demografi populasi Kota Samarahan yang terdiri daripada para pelajar universiti serta golongan profesional perkhidmatan awam dan swasta. 

“Oleh yang demikian, kita perlukan komitmen berterusan dari semua pihak untuk meletakkan Kota Samarahan sebagai salah satu destinasi pelancongan dengan keistimewaan tersendiri,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Pertama Dota 2 bagi 2021 di Taman D’Virtual, Kota Samarahan dekat sini hari ini diikuti pelancaran Kelab Sukan Elektronik Batang Sadong. 

Mengenai kejohanan tersebut, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata penganjurannya tepat pada masanya dan seiring dengan strategi kementeriannya untuk menggalakkan semua pemegang taruhnya memanfaatkan teknologi dan digitalisasi secara proaktif dan inovatif. 

Malah katanya penganjuran acara sukan yang bersifat futuristik seperti ini dapat menarik perhatian pelancong muda dari serata dunia untuk ke Kota Samarahan. 

Kejohanan julung kalinya bagi musim pertama tahun ini di Taman D’Virtual ini merupakan anjuran Serba Dinamik Group Berhad dengan sokongan Kelab Sukan Elektronik Batang Sadong. 

Sebanyak 16 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan ini yang menawarkan hadiah tunai berjumlah RM5,000 kepada pemenangnya. 

Kejohanan bermula semalam, 27 Mac dimana 16 pasukan dari Kota Samarahan dan Kuching bersaing dan dibahagikan kepada empat kumpulan bagi merebut slot akhir pada 4 April 2021. 

Hadir sama, Pengurus Kumpulan dan Ketua Operasi Serba Dinamik Kuching, Muliawadi Imran dan Presiden Kelab Sukan Elektronik Batang Sadong Ehsan Wahab serta yang lain. 

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments