PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian mensasarkan seramai 500 penanam kontrak (contract growers) pada tahun ini akan mengikat kontrak ladang dengan lapan syarikat terpilih.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata menerusi penanam kontrak itu ia sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam bidang pertanian kepada masyarakat, terutamanya graduan dan golongan belia.

Katanya, sekiranya jumlah sasaran itu dapat dicapai ia dijangka akan memberi manfaat kepada 1,000 individu manakala nilai untuk kontrak ladang berkenaan turut disasarkan melebihi RM60 juta setahun.

“Kita selalu dengar bahawa anak muda ini ada kepakaran tetapi tidak tahu untuk buat apa, jadi dengan pelbagai program kementerian ini ia membuka peluang pertanian kepada anak muda yang mempunyai kemahuan untuk memulakan kehidupan menjadi Agropreneur dalam industri agro makanan.

“Kita akan padankan peserta program ini dengan pihak industri serta memberi mereka ilmu bercucuk tanam, nasihat pertanian dan bagaimana mereka boleh menjadi usahawan pertanian.

“Selain itu sebagai penanam kontrak, kita memberi jaminan kepada mereka bahawa hasil tanaman akan dieksport. Ini (jualan eksport) adalah nilai tambah kepada mereka, berbanding jual secara domestik.

“Jaminan jualan adalah penting terutamanya kepada mereka yang baru memulakan projek pertanian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Business Talk: Selangkah Ke Industri Pertanian, di kementeriannya, di sini, hari ini.

Dalam program itu, Ronald berkata, seramai 150 graduan terpilih mengikuti program berkenaan yang merangkumi graduan daripada Institut Pengajian Tinggi Awam, Institut Pengajian Tinggi Swasta, Sijil Pertanian dan Sijil Kemahiran Malaysia.

“Menerusi kontrak ladang yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian ini ia juga untuk membantu mereka yang terjejas dengan COVID-19 di negara ini.

“Program ini dilihat memberi manfaat kepada usahawan yang terbabit dari segi meningkatkan produktiviti ladang, menjamin bekalan mencukupi dan memperoleh harga yang tinggi.

“Selain itu, kita juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan tanah dan sumber tenaga kerja kerana melalui kontak ladang ini ia akan dibangunkan dengan perkongsian pakej teknologi tanaman terbaik,” katanya.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments