KUCHING, 13 Oktober 2021, Bersempena dengan Bulan Inovasi Penjawat Awam Negeri Sarawak (PANS) 2021 yang berlangsung dari 14hb September hingga 14hb Oktober 2021, pihak Sarawak Multimedia Authority (SMA) dengan kerjasama Serba Dinamik telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah bagi program Pertandingan “SMA-AI Intelligent Virtual Assistant (IVA) 2021” yang diadakan secara virtual di Kuching, Sarawak.

Terdapat 4 kategori dipertandingkan iaitu Kategori Utama, Kreatif dan Inovatif, Reka Bentuk, dan Inklusiviti Digital.

Sebanyak 26 pasukan terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan di Sarawak telah terlibat di dalam program tersebut.

Menurut Timbalan Setiusaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datu Dr Sabariah Putit, pertandingan ini diadakan untuk memperkenalkan IVA sebagai satu transformasi perkhidmatan di dalam eGovernment yang berkeupayaan untuk meningkatkan kecekapan sistem sokongan kepada masyarakat dan semua pihak berkepentingan.

“Melalui program inovasi ini, persediaan dan pendedahan telah diberi untuk agensi kerajaan memperkenalkan IVA di dalam perkhidmatan digital kerajaan yang akan meningkatkan masa tindak balas bagi setiap perkhidmatan agensi kerajaan.

Ini akan menambah baik kecekapan agensi kerajaan dengan menjadikan IVA sebagai sistem sokongan dan juga penggunaan data besar atau Big Data.”

Kumpulan daripada Universiti Teknologi Mara cawangan Sarawak telah muncul sebagai pemenang tempat pertama dengan membawa pulang wang sebanyak RM2,000 beserta sijil penyertaan.

Manakala tempat kedua dimenangi oleh dua pasukan iaitu Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Majlis Bandaraya Miri (MCC). Pemenang berkongsi hadiah wang kemenangan sebanyak RM1,500 beserta sijil penyertaan.

Akhir sekali wang tunai bernilai RM1,000 beserta sijil penyertaan telah menjadi milik Politeknik Kuching, Sarawak iaitu pemenang tempat ketiga. 

Selain itu, pemenang hadiah bagi kategori Kreatif dan Inovatif, Reka Bentuk, dan Inklusiviti Digital, telah dimenangi kumpulan Majlis Bandaraya Miri, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Razak Kota Samarahan, dan SDEC dan yang masing-masing meraih hadiah RM500 beserta sijil penyertaan.

“Melalui Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (SSMU), kesemua 176 Kementerian dan Agensi Kerajaan di Sarawak diharapkan boleh memanfaatkan inovasi dan teknologi baru untuk memacu perkhidmatan pelanggan yang cemerlang terutamanya dalam berdepan tempoh pasca-COVID19 mencabar ini,” katanya dalam kenyataan.

Majlis penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Setiusaha Kerajaan Negeri iaitu Datu Dr Sabariah Putit.

Hadir sama Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Ts Dr Zaidi Razak, Timbalan Ketua Saintis dan Ketua Penasihat Ekonomi Digital Sarawak Profesor Ts Dr Al-Khalid Othman, dan Pengurus Besar Serba Dinamik Digital Sdn Bhd Abdul Qaiyum Alidin.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments